Powered By Blogger

Wednesday, 30 October 2013

ADAKAH DIRI INI LAYAK UNTUK MEMIMPIN

ADAKAH DIRI INI LAYAK MEMIMPIN.
           

Mereka yang lain sibuk menjatuhkan sesama sendiri, sibuk mencari isu-isu kebajikan untuk diperjuangkan, memanipulasikan apa sahaja selagi mampu, aku di sini diam membisu. Hanya bisa memerhati dari jauh. Memerhatikan gelagat mereka sebelum benar-benar mereka itu bersinar di mata semua. Aku semakin merasakan diri aku ini kerdil. kerdil lagi lumpuh.

            Aku hanya mampu memerhati dari jauh. Melihat dengan penuh teliti.  Persoalannya apa sebenarnya yang mereka cari? Publisiti atau benar-benar mereka mahu perjuangkan soal kebajikan kami. Adakah itu caranya mereka untuk meraih perhatian dan simpati kami? Adakah itu cara mereka?

            Apa yang aku nantikan sekarang ini, adalah apabila mereka berada diatas nanti. Adakah akan diteruskan apa yang mereka beria-ia perjuangkan itu? Atau sepi di kemudian hari? Dalam ramai-ramai berbaju korporat hitam dan putih, boleh dikira dengan jari yang benar-benar ikhlas menabur budi. Itulah yang aku lihat selama ini.




            Kepada yang sudah berada di atas, kemudian lupa pada kami yang berada di bawah ini. Merasakan diri itu sudah besar dan tiada yang sehebat mereka. Adakah itu yang kami cari? Anda tahu jawapan kami ! Ya ! bukan itu yang kami cari.


            Dengan kesemua yang aku lihat dengan mata kepala sendiri ini, aku mulai terfikir, adakah aku mampu untuk meneruskan perjuangan ini? adakah aku mampu untuk menjadi pemimpin satu hari nanti? Menggeletar hatiku bila berkata soal itu. aku merasakan diri ini tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu. biarlah ianya jatuh ke tangan yang selayaknya. Jangan dilepas kepada mereka yang rakus. Rakus mencari kemegahan dan bukan keikhlasan kiblat mereka. 

Friday, 25 October 2013

Keterlanjuran

KETERLANJURAN
          




          Kita kadangkala tidak sedar dalam pada terlalu menjaga hati dan perasaan ini, sebenarnya ada juga hati orang yang tidak kita pedulikan. Kerna setiap sesuatu yang kita lakukan pasti ada kebaikan dan keburukannya. Maka ini, aku telah lihat sendiri, perkara ini benar-benar terjadi. Bahkan, kedua-dua mata dan telinga ini melihat dan mendengarnya. Sungguh amatku kesali.

           

         Dengan ini, kita harus beringat. Barangkali apa yang kita lakukan mungkin mendatangkan keburukan lebih daripada kebaikan.

           

         Namun dari segi perspektif yang lain, kita selama ini terlalu menjaga hati dan perasaan orang sehinggakan kita terlupa yang kita juga punyai hati untuk dipelihara. Tetapi apabila perubahan drastik itu kita cuba untuk lakukan, kita jadi seolah-olah tidak ada orang lain di sekeliling. Terlupa pada mereka yang sentiasa menyokong kita daripada belakang. Terlupa akan perjuangan yang selama ini dirancang. Semuanya jadi tidak berguna lagi.


            

         Jadi itu yang harus kita jadikan sebagai pengajaran dan tauladan buat bekalan masa muka. Agar tidak lagi aku ulangi perbuatan itu. 

Thursday, 24 October 2013

Lari Tidak Bermakna Takut

Lari Tidak Bermakna Takut


Kadangkala aku perlu lari sejauh-jauhnya. Lari menyelamatkan diri daripada disakiti dan dirobek insan-insan durjana yang hanya tahu menjadikan hati dan perasaan ini satu barang permainan yang boleh dicampaknya ke sana ke mari.



Aku terpaksa jauh daripada benda yang aku gemari dan sukai. Aku pergi meninggalkan apa yang aku rasa dahulu mahu aku perjuangkan sehingga ke akhirnya. Tetapi dek kerana tidak rela perasaan ini dipermainkan sekali lagi, aku sanggup pergi meninggalkan itu semua.


Kini aku perlu mencari apa yang aku fokuskan. Agar kepala ini tidak lagi rungsing memikirkan apa yang perlu dilakukan saban hari. Agar diri ini tidak terbeban dengan perkara-perkara yang aku kini tidak rasai layak menjadi sebahagian daripadanya.


Berfikir aku sejenak memikirkan tentang apa tujuan utama mereka.


Aku mula mendapat satu jawapan. Bukan kemenangan yang sepatutnya mereka kejar. Tetapi pengalaman dan peluang yang seharunya mereka capai dan beri. Tetapi itu semua sudah kabur dari pandangan. Hanya kemegahan yang mereka ingin rasai. Namun, dalam pada tidak sedar ada yang terguris jiwanya Tidak mengapa, kerana aku sudah bisa menerima itu semua.


Teruskan mengejar. Semoga berjaya hingga keakhirnya.


Monday, 21 October 2013

Gelak Ketawa

‘Rasyid, jom temankan aku ke DTC malam ni? Ada pertandingan tarian kreatif. Jom la.’ Ajak aku.

‘Ala. malaslah.’ Jawab Rasyid.

‘Takpelah, aku pergi seorang.’ Jawab aku semula.



Teringat lagi aku pada peristiwa malam itu. Gigih aku keseorangan membawa diri ke Dewan Tunku Canselor semata-mata untuk menyaksikan sendiri apa yang dikatakan Festival Seni Universiti Malaya (FESENI) itu. Pada malam itu, adalah giliran pertandingan Tarian Kreatif. Memang menjadi kegemaran aku kalau bab-bab menari ni. Sejak daripada malam itu, aku sudah tanamkan niat untuk berada diatas pentas DTC itu bagi mewakili kolej dalam pertandingan tarian. Selepas habis PASUM, syukur aku ditawarkan ke UM semula untuk mengambil jurusan perubatan.



Alhamdulillah. Semasa  tahun pertama aku dapat juga melunaskan niat untuk mewakili kolej dalam pertandingan tarian. Walaupun pada ketika itu, keadaannya agak menyedihkan. Tapi demi semangat yang aku tahan sejak dari PASUM lagi, aku tetap kekal berada dalam kumpulan itu walau penat dan perit manapun yang terpaksa aku hadapi dan lalui. Menjadi pelajar perubatan merupakan satu cabaran yang harus aku pikul demi mencapai cita-cita dalam masa yang sama bergiat aktif  di kolej. Walaupun pada malam pertandingan tidak puas aku menari. Tapi, takpela, ‘nanti kita boleh cuba lagi baik daripada ini.’ kata aku dengan harapan sesi yang depan dapat aku sekali lagi mewakili kolej dalam pertandingan yang aku minati ini.



Tetapi hari ini, tidak dapat lagi aku tahan. Kerana diskriminasi yang aku rasakan tidak akan pernah berlaku di universiti, kini sudah menhantui aku semula. Aku palsukan senyuman, aku palsukan gelak tawa aku. Walau digelak dibahan sahabat yang aku dah anggap sebagai keluarga sediri. Aku rela. Kalau itu yang boleh menggembirakan mereka.
Terus aku teringat semasa 4 tahun lepas. Semasa aku berada di tingkatan 4. Aku hampir-hampir menjadi penari mewakili Negeri Perak dalam pertandingan tarian tradisional peringkat kebangsaan. Tetapi dek kerana saiz badan, aku dikeluarkan daripada kumpulan itu. Masih mekar di ingatan aku peristiwa hitam itu. Tetapi aku positif. Dengan harapan aku masih lagi boleh bergiat aktif dalam kesenian di tempat lain. Tetapi jangkaan aku itu silap. Diskriminasi ada dimana-mana.
Betapa cepatnya tersebar berita itu kepada yang lain. Yang mana aku rasakan tidak perlu pun nak disebarkan.


Ya, Akademik adalah untuk aku. Dan aku tidak ditakdirkan untuk menjadi penggiat seni. Suara aku tidak selunak mereka. Gerakan aku tidak setajam mereka. Rupa parasku tidak semolek mereka. Baru hari ini aku sedar, aku bukan untuk itu. Aku bukan untuk itu. Aku bukan untuk itu.


Segala yang aku rancang, tidak ada daya untuk aku teruskan. Tidak kuat untuk teruskan. Aku pura-pura setuju. Aku pura-pura ‘makan hati’. Namun dari tadi aku tahan tangisan ini. tidak mengapa, hati orang kita kena jaga. Itu pesan mama.


Diskriminasi dimana-mana. Ingat lagi semasa MHS, dimana aku dipilih untuk mewakili Kolej dalam kategori manifestasi puisi. Aku dikeluarkan juga daripada kumpulan dan diletakkan sebagai ahli teknikal. Juga dek kerana saiz badan. Apa boleh buat, semuanya sudah tertulis.



Mungkin ini bahagian aku. Mungkin ini balasan atas dosa-dosaku. Aku terima dengan senyuman penuh kepalsuan. Aku terima dengan gelak tawa penuh penipuan. Aku terima. Asalkan mereka gembira.

Sunday, 13 October 2013

Aidiladha kali ini..

sudah lama rasanya aku tidak menulis disini. Terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup aku semenjak dua menjak ini. 

Ada ketika dimana aku rasakan aku tidak mampu menanggung semua ini. Tetapi ada juga ketika aku rasakan aku ini kuat untuk menempuhinya.

Ada ketika aku merasakan aku mahu berhenti daripada menjalani semua ini, tetapi dek kerana tanggungjawab dan amanah, aku teruskan jua walau sejarah lama itu amat pahit untuk aku telan. 

Angah ada berkata : Jangan terlalu fikirkan pasal orang lain, fikirkan juga pasal diri kita. Nanti sampai satu masa, orang akan pijak kepala kita. 

Benar katamu itu kakanda. Tetapi apakan daya kalau semuanya menolak dan akhirnya terpalit pada kita sendiri. Diluah salah, dimakan pun salah. 

Aku mengharapkan sokongan padu daripada sahabat-sahabat yang kini sudah aku anggap sebagai keluarga aku sendiri. Aku harapkan yang mereka dapat memahami dan menyokong aku dari belakang. Aku tidak mahu perkara lama berulang, kerana masa depan juga harus kita fikirkan. 

Perjalanan aku masih jauh dan panjang. 

AidilAdha kali ini aku sambut bukan seperti kebiasaan. Namun aku akur dan terima semuanya dengan hati yang terbuka. Kerana aku yakin Allah sedang berbicara dengan aku soal kehidupan. Barangkali Allah mahukan aku untuk menjadi lebih kuat dan bagus dalam pembahagian masanya. Barangkali Allah mahu aku untuk perbaiki kelemahan yang penuh di dada ini. 

Aku terima dengan redha. 

Zaman Ismail