Powered By Blogger

Thursday, 1 October 2015

MBBS 4: AKU MEMANG PEMALAS

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Hujan lebat di luar. Ada seorang pelajar tahun 2 Bestari datang masuk ke kelas aku, 2 Canggih. Dengan sopannya dia mengetuk pintu dan meminta kebenaran.

‘Assalamualaikum cikgu, nak minta kebenaran. Cikgu Zaleha nak jumpa dengan Mohamaad Khairuzzaman.’ Kata budak tu.

‘Kenapa ya?’ Soal Cikgu (Tak berapa nak ingat nama dia)

‘Tak pasti cikgu. Dia cakap nak jumpa je.’ Balas budak tu.

‘Baiklah. Mohamaad Khairuzzaman !!! Sila ke depan.’ Jerit cikgu.

‘Ya Cikgu. Kenapa?’ Tanya aku. Masa ni tuhan je tahu berdebar jantung aku.

‘Ni hah, Cikgu Zaleha nak jumpa kamu. Pergi ikut budak ni.’ Arah cikgu.

‘Baik.’ Jawab aku ringkas.

‘Kita nak jumpa dekat mana ya?’ Soal aku pada budak tu.

Aku tak kenal pun budak ni. Tak pernah jumpa pun. Tapi tiba-tiba jadi orang suruhan cikgu suruh panggil aku. Mesti dia ni budak pandai ni. For sure ! Sebab tu jadi balachi cikgu. Hhahaha.

‘Dekat kelas aku la. 2 Bestari.’ Jawab budak tu. Macam nak tak nak je dia jawab.

Setibanya aku ke pintu masuk kelas tu. Aku dah tak keruan. Sebab dapat merasakan ada yang tak kena. Serious seram gila. Rasa nak terkencing. Tak tahu apa sebabnya. Nak kata aku ada buat salah. Tak juga. Nak kata aku ada curi barang, aku tak pernak curi barang sesiapa.

‘Ke sini Zaman !’ Panggil Cikgu Zaleha dengan nada yang agak tinggi.

‘Ya cikgu. Ada apa cikgu panggil saya?’ Tanya aku dengan nada paling rendah diri pernah aku guna dalam hidup aku. Dalam hati cuma Allah sahaja yang tahu.

Seram. Tiba-tiba dunia aku jadi gelap gelita. Bunyi curahan hujan lebat di luar seakan-akan tidak kedengaran. Yang aku fikirkan hanyalah Cikgu Zaleha. Apa dia nak buat dengan aku ni. Haish. Risau.

‘Awak bagitahu saya, siapa buat kerja sekolah awak ni?’ Nada Cikgu Zaleha semakin tinggi.

‘… errr… Saya la… ‘

Belum sempat aku nak menghabiskan ayat, Cikgu Zaleha mencelah.

‘Jangan Bohong !!!! Cakap dengan saya. Siapa buat kerja sekolah awak ni? Jawab !’

Ironinya pada masa yang sama guruh berdentum. Petir samba menyambar. Kau rasa??
‘Kakak saya cikgu.’ Balas aku.

‘Awak jangan nak jadi pemalas ! Saya tahu ini bukan kerja awak. Tulisan awak bukan macam ni. Jangan nak jadi penipu ! Awak tahu tak mula-mula menipu ni lepas ni jadi pencuri pula. Awak nak jadi pencuri??!!! Nak??!!!’ Cikgu Zaleha membebel bertubi-tubi ke arah aku.

‘Maafkan saya cikgu.’
Tanpa izin laluan, Cikgu Zaleha terus cubit bahagian bawah ketiak aku dengan kuku dia yang panjang tu. Kalau mengikut ilmu sainsnya, kawasan itu adalah kawasan sensitif dan nipis lapisan epidermisnya. Makanya, sekiranya dicubit menggunakan kuku yang panjang dan teramat kuat tekanannya, ia akan menghasilkan kesakitan yang teramat sangat. Ya betul. Kesakitan yang teramat sangat.

‘Auuuuuuu !!!! Cikgu sakit !!!’

‘Rasakan. Nak jadi pemalas sangat kan.’ Terus Cikgu Zaleha campak buku tulis aku ke lantai.

Perlahan-lahan aku kutip. Kemudian beredar.

Kalau masa tadika pun tak hebat mana. Inikan pula masa sekolah rendah. Lagi lah. Ke laut aku.

Waktu ni aku masih lagi bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Ampang. Kelas Pemahaman Bahasa Melayu. Subjek Bahasa Melayu ni Cikgu Zaleha Ghani yang ajar. Dia agak garang. Bukan agak tetapi sangat garang. Dia ada bagi aku satu kerja sekolah. Macam biasa la. Aku tak buat pun kerja-kerja sekolah yang dia beri. Setiap kali ada kerja rumah, aku akan minta tolong kakak aku untuk siapkan. Dia akan tulis cantic-cantik dekat buku. Kemudian, tugas aku adalah untuk padam dan tulis semula dengan tulisan aku yang agak cakar ayam tu. Nak nampak REAL la katakan.

‘Jangan lupa tau. Lepas angah buat, kau padam dan tulis balik guna tulisan kau. Nanti cikgu marah, kau yang kena.’ Pesan kakak aku.

Ok ngah. Jangan risau. Mamat padam balik nanti. Tulis semula.’

Tapi pada hari itu, Allah maha Adil. Dia nak tunjuk kekuasaan dia. Maka aku kantoi. Mati katak dibuatnya.

P/S:

1.    Untuk pengetahuan semua. Cikgu Zaleha sudahpun meninggal dunia akibat barah payu dara beberapa tahun lalu. Dia seorang cikgu yang sangat baik. Tanpa dia, aku tak rasa aku jadi siapa aku sekarang ni. Jasa dia tak terbalas oleh aku. Minta jasa semua yang membaca, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah.


2.    Memang tajuk cerita ini MBBS and so far belum ada lagi cerita berkenaan dengan MBBS yang aku kongsikan. Bukan apa. Aku nak bawa korang semua meneroka kehidupan aku. Supaya korang adalah feel juga nanti bila baca kisah-kisah aku yang lain. Jangan risau, hanya yang penting-penting sahaja yang aku akan ceritakan. Hiks.

Sekian,

Zaman Ismail


No comments:

Post a Comment